PANEL Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) mengesyorkan Russia digantung daripada menyertai semua kejohanan selama empat tahun selepas mendakwa Moscow memalsukan data makmal yang diberikan kepada penyiasat, menurut jurucakap pemantau anti-doping antarabangsa di Montreal, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Jawatankuasa Reviu Pematuhan (CRC) menggesa hukuman itu yang bakal menyaksikan Russia dilarang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi bergantung kepada keputusan mesyuarat di Paris pada 9 Disember.

Jawatankuasa WADA juga mengesyorkan Russia dihalang daripada menganjur atau membida sebarang kejohanan sukan antarabangsa dalam tempoh empat tahun itu, sekali gus bakal menjejaskan status Saint Petersburg sebagai salah satu venue bagi Euro 2020.

Jika gesaan itu diluluskan Jawatankuasa Eksekutif WADA, Russia boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Usul penggantungan empat tahun yang disyorkan itu diperoleh hasil penyiasatan WADA yang menunjukkan kes ‘sangat serius’ dan tidak boleh diterima.

Agensi Anti-Doping Russia (RUSADA) sudah digantung hampir tiga tahun berikutan isu program doping yang dikatakan dilindungi kerajaan.

Bagaimanapun, WADA dalam kenyataannya awal pagi tadi berkata data yang diserahkan mempunyai masalah dan “tidak lengkap sepenuhnya atau tidak sepenuhnya tulen”.

Kenyataan itu berkata ratusan hasil analisa sudah dipindahkan dan fail PDF sudah dipadam. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 12:51 PM