ZIYECH (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Stade Pierre-Mauroy, Lille. — FOTO Reuters
AFP

AJAX Amsterdam semakin hampir layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi apabila kelab gergasi Belanda itu menang 2-0 di Lille untuk mendahului dua mata di puncak Kumpulan H dengan berbaki satu perlawanan.

Hakim Ziyech menjaringkan gol terpantas pada pertandingan itu musim ini selepas 94 saat di kelab bermasalah Perancis sebelum Quincy Promes meledak gol keempatnya pada kejohanan itu selepas sejam.

Juara Eropah empat kali Ajax mengumpul 10 mata daripada lima perlawanan, dua mata berbanding Valencia dan Chelsea yang seri 2-2 di Sepanyol pada aksi terdahulu.

Ajax menanti kunjungan Valencia, yang sudah dikalahkan mereka 3-0, bagi menamatkan aksi peringkat kumpulan bulan depan.

“Kami mengenali antara satu sama lain dengan amat baik. Malah kami tidak perlu bercakap antara pemain di tengah padang. Kami akan turun untuk memenangi perlawanan terakhir, itulah sebabnya kami bermain bola sepak,” kata Ziyech.

Jurulatih Erik ten Hag berkata: “Kami memang berhak menang. Secara taktikal kami hampir sempurna dan kami berjaya menangani perlawanan ini dengan bagus sekali.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 10:42 AM