Pemain Malaysia meraikan kemenangan menentang Thailand. FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


BERAKSI cemerlang meraih tiga kemenangan pada perlawanan antarabangsa membolehkan skuad Harimau Malaya melonjak empat anak tangga ke kedudukan 154 dunia dalam senarai yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA), hari ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe menewaskan Tajikistan 1-0 pada perlawanan persahabatan sebelum meraih dua kemenangan menentang Thailand dan Indonesia pada aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Menurut senarai yang dikeluarkan FIFA, skuad negara menghuni tangga ke 154 dunia dengan pungutan 1,040 mata.

Secara keseluruhannya, pada bulan November, skuad Harimau Malayah berjaya menambahkan 31.12 mata menjadikan jumlah baru kepada 1,040.07 mata dan dengan angka itu kedudukan Malaysia telah naik ke kedudukan 154 dunia.

Sementara itu, Vietnam pula, kekal berada dalam kelompok 100 dunia berdasarkan kedudukan semasa dimana skuad bimbingan Park Hang-seo itu kini menghuni tangga ke 94 dunia selepas berjaya mengutip 1,258 mata.

Bagi kedudukan teratas Asia pula, Jepun mengambil alih kedudukan daripada Iran selaku pasukan terbaik dibawah Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC) dengan kutipan 1,500 mata, manakala Malaysia pula berada di kedudukan ke 33.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 5:53 PM