SEU Bock (kiri) bersama Skuad badminton negara ketika menjalani latihan di Kompleks Sukan Muntinlupa sempena Sukan SEA Filipina 2019. FOTO/OSMAN ADNAN
SEU Bock (kiri) bersama Skuad badminton negara ketika menjalani latihan di Kompleks Sukan Muntinlupa sempena Sukan SEA Filipina 2019. FOTO/OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim


PENARIKAN diri skuad badminton wanita Kemboja pada saat akhir membawa tuah buat kem negara apabila diberi kemenangan percuma, sekali gus mara ke separuh akhir acara berpasukan pada Sukan Sea 2019.

Malah, ia menyaksikan pingat gangsa sudah berada di dalam genggaman sekalipun jika tumbang di tangan Thailand yang meraih ‘bye’ pada pusingan awal.

Jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock berkata, beliau mahu pemain mengalih fokus dengan misi ketika ini cuba mengejutkan Thailand.

“Sudah pasti ia perlawanan sukar kerana mereka (Thailand) memang pasukan pilihan. Kami harapkan dua beregu wanita dan satu perseorangan wanita bagi menyumbang mata jika mahu menang.

“Apa pun, tiada apa yang mustahil dan kami akan buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Kompleks Sukan Muntinlupa di sini, semalam.

Pada temasya dua tahun lalu, skuad wanita negara memenangi perak selepas tewas di tangan Thailand pada aksi final.

Bagi acara berpasukan lelaki pula, Malaysia akan bertemu Filipina hari ini pada pusingan awal dan jika menang, Myanmar atau Singapura menanti di separuh akhir.

Pada edisi kali ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyasarkan satu pingat emas menerusi gandingan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 7:00 AM