LEE Zii Jia bersama skuad badminton negara ketika menjalani latihan di Kompleks Sukan Muntinlupa sempena Sukan SEA Filipina 2019. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim


SKUAD badminton negara diharapkan dapat mengulangi kejayaan manis Sukan Sea 2005 apabila Malaysia muncul juara berpasukan lelaki di temasya yang berlangsung di Filipina ketika itu.

Kebetulan, selepas 14 tahun berlalu, skuad negara kini kembali merasai pentas final di bumi sama pada edisi ke-30 kali ini dengan Indonesia sekali lagi bakal menjadi penghalang.

Harapan itu disuarakan Datuk Lee Chong Wei yang turut beraksi pada 2005 lalu dengan membantu kem negara menewaskan musuh tradisi itu dengan 3-2.

Namun selepas kejayaan memenangi pingat emas acara berpasukan itu, Malaysia terus kempunan dalam enam temasya selepas itu termasuk di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Katanya, beliau yakin skuad kali ini mampu menamatkan kemarau selama 14 tahun dalam acara berpasukan lelaki itu.

Malah, legenda badminton negara dan bekas pemain nombor satu dunia itu mengingatkan pasukan supaya tidak gentar biarpun atas kertas Indonesia dilihat ampuh.

“Pemain tidak perlu berasa gentar kerana kita tidak akan rugi apa-apa, sama juga situasinya ketika 2005 di Manila. Yang paling penting pemain berjuang habis-habisan.

“Kalau kita tengok sekarang memang Indonesia lebih baik daripada kita, kalau kita menang ia bonus. Saya yakin dengan kemampuan pemain kali ini dan pemain akan menunjukkan semangat juang tinggi untuk perlawanan final esok (hari ini).

Aksi final itu akan berlangsung di Kompleks Sukan Muntinlupa di Manila dan sekiranya menang, ia petanda positif buat pasukan yang hanya menyasarkan satu emas menerusi acara beregu lelaki di Filipina kali ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:00 AM