SKUAD dodgeball di KLIA.
Iskandar Shah Mohamed


BIARPUN pulang sebagai naib juara Kejohanan Dunia, skuad dodgeball lelaki dan wanita kebangsaan tetap menerima sambutan wira sekembalinya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. 

Pada aksi final di Cancun, Mexico, Isnin lalu, pasukan lelaki gagal mempertahankan gelaran dunia secara hatrik apabila tewas 4-9 kepada seteru utama, Amerika Syarikat (AS).  Kehampaan turut menimpa pasukan wanita yang juga juara 2016 dan 2017 apabila tumpas 5-7 kepada AS. 

Namun, pengurus pasukan, Teo Yong Jiew berpuas hati dengan pencapaian itu berikutan Malaysia masih berada di ranking kedua dunia. 

"Saya mengakui faktor kekalahan kedua-dua pasukan kita akibat tekanan dan kelemahan psikologi ketika bertemu AS yang juga musuh tradisi sejak beberapa tahun lalu.   "Bagaimanapun, semua pemain tetap memberi tentangan sengit dan bersedia untuk bangkit semula pada edisi kejohanan di Glasgow, Scotland, tahun depan," katanya ketika ditemui Arena Metro. 

Dalam pada itu, kapten skuad lelaki negara, Carlos Goonting menganggap kegagalan mempertahankan kejuaraan menjadi pembakar semangat untuk kembali bangkit dan memperbaiki kelemahan. 

"Nasib kurang menyebelahi kali ini dan kami akan terus meningkatkan prestasi terutama aspek mental," katanya yang menggalas cabaran sejak 2016. 

Untuk rekod, skuad dodgeball lelaki dan wanita negara masing-masing muncul juara dan naib juara pada edisi yang berlangsung di Los Angeles, AS, tahun lalu. 

Pasukan lelaki mempertahankan gelaran dunia 2017 dengan mengatasi AS 5-4 dalam aksi masa tambahan manakala pasukan wanita tewas 5-8 kepada negara tuan rumah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 8:21 PM