POLIS menahan seorang penyokong Cruzeiro di Stadium Mineirao. FOTO AFP
Reuters

AKSI terakhir Cruzeiro musim ini ditamatkan lebih awal selepas penyokong merusuh dengan mencabut kerusi dan membalingnya ke arah pemain selepas tersingkir daripada divisyen satu Brazil buat kali pertama dalam sejarah 98 tahun mereka.

Pengadil menghentikan perlawanan ketika permainan berbaki lima minit sejurus Palmeiras menjaringkan gol kedua yang menyaksikan tuan rumah tewas 0-2, awal pagi tadi.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas penyokong yang berang membaling objek dan bergaduh di tempat duduk memaksa pegawai perlawanan mengesahkan situasi tidak selamat kepada pemain.

Ramai penonton meninggalkan Stadium Mineirao sebelum perlawanan tamat susulan rusuhan yang berpunca daripada kekecewaan terhadap nasib kelab mereka.

Kelab Belo Horizonte itu perlu menang aksi terakhir mereka musim ini sambil mengharapkan Ceara tewas di Botafogo.

POLIS melepaskan gas pemedih mata ke arah penyokong di Belo Horizonte, Brazil. FOTO AFP

Tetapi jaringan Ze Rafael 13 minit selepas rehat dan Dudu ketika permainan berbaki enam minit mengesahkan nasib Cruzeiro.

Ceara pula seri 1-1 dengan Botafogo dan mengakhiri musim dengan 39 mata, tiga mata mengatasi Cruzeiro.

Cruzeiro bermula baik musim ini dengan menjuarai kejohanan negeri Mineiro tetapi mula merosot selepas pengarah mereka ditahan angkara skandal rasuah yang menggegarkan kelab itu pada Mei lalu.

Insiden itu menjejaskan pasukan memaksa pengurusan memecat empat pengurus berbeza sepanjang 38 perlawanan mereka musim ini dengan perubahan terkini minggu lalu.

Mereka tersingkir ke liga bawahan bersama CSA, Chapecoense dan Avai.

Flamengo muncul juara liga dengan jurang 16 mata walaupun tewas 0-4 kepada Santos semalam sekaligus kekalahan pertama mereka dalam 30 perlawanan sejak awal Ogos lalu.

Kelab Rio itu akan menyertai Piala Kelab Dunia di Qatar sebagai juara Copa Libertadores.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 11:03 AM