Blind kata Mane (kiri) sebagai Ronaldo baru. FOTO REUTERS
Agensi

SADIO Mane dilabel sebagai ‘Cristiano Ronaldo baru’ oleh bekas pengurus bola sepak antarabangsa Belanda, Danny Blind.

Penyerang Liverpool itu yang berada dalam prestasi terbaik musim ini menjaringkan 13 gol dalam semua pertandingan.

Dia juga membantu Reds berada di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kini berada dalam laluan ke peringkat kalah mati saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Bintang Senegal itu kekal cemerlang sejak menyertai Liverpool dari Southampton pada 2016 menyebabkan Danny yakin prestasi dipamerkan sekarang berada dalam kategori Cristiano Ronaldo.

Danny yang juga bapa kepada bekas pemain pertahanan Manchester United, Daley, berkata pemain berusia 27 tahun itu memiliki bakat yang dicari untuk pemain jenis menyerang.

“Sadio Mane adalah Ronaldo baru dalam dunia bola sepak,” kata Danny kepada media Britain.

“Selaku pemain penyerang, dia benar-benar fantastik. Saya dapat melihat setiap kualitinya dan mantap dalam setiap aspek”.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 2:09 PM