PERLUMBAAN Cub Prix makin berkembang. — FOTO Mohd Fadli Hamzah
Iskandar Shah Mohamed


PEMBINAAN litar tetap termasuk bersaiz kecil perlu ditambah bagi memperkembangkan lagi sukan permotoran dua roda sekali gus melahirkan pelumba pelapis di negara ini.

Perkara itu disuarakan promoter Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd yang mempunyai pelan jangka panjang untuk menyediakan litar berkenaan.

Pengarah Urusannya, Ron Hogg berkata, mereka sedang giat menjalankan usaha sama dengan beberapa kerajaan negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perlis.

“Cabaran ketika ini adalah untuk mendapatkan lebih banyak fasiliti dan kami hanya memiliki tiga hingga empat litar tetap antaranya di Tangkak dan Jempol.

“Justeru, fokus kami adalah terus berusaha keras dengan kerajaan negeri bagi menyediakan lebih banyak litar tetap. Jika berjaya dibina, industri sukan permotoran di negara ini diyakini akan terus berkembang,” katanya.

Menurutnya, pembinaan litar tetap itu turut penting untuk penganjuran sesuatu acara permotoran.

“Kami tidak semestinya memerlukan semua litar seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Jika ada satu atau dua lagi litar, kami boleh menganjurkan satu acara besar.

“Namun, litar kecil menjadi fokus utama kerana lebih ramai boleh menggunakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ron merumuskan saingan Cub Prix musim ini agak baik menerusi penyertaan pasukan yang dilihat semakin profesional.

“Selain itu, ramai bakat muda menyinar dengan menaiki podium dan mampu beraksi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kejuaraan yang bertapak sejak 26 tahun lalu itu antara medan asas melahirkan ramai pelumba berprestij negara seperti Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Khairul Idham Pawi, Adam Norrodin dan Hafizh Syahrin Abdullah.

Pusingan penutup musim yang melabuhkan tirai di SIC semalam menyaksikan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing membolot empat gelaran bagi dua kelas utama perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 12:03 AM