HAIQAL (tengah) ketika memenangi acara 100m lelaki di Clark, kelmarin. — FOTO Reuters
Iskandar Shah Mohamed


KEJAYAAN Raja Pecut baharu Asia Tenggara, Haiqal Hanafi pada temasya Sukan Sea Filipina turut menerima pujian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selain mengharumkan nama negara, atlet berusia 20 tahun dari Negeri Sembilan itu berkongsi rahsia kemenangan antaranya sentiasa menunaikan solat lima waktu dan solat hajat sebelum tidur.

“Kami tertarik dengan kata-katanya (Haiqal) selepas kemenangan itu iaitu rahsia kejayaannya adalah solat lima waktu, solat hajat sebelum tidur dan banyak berdoa kepada Allah supaya diizinkan untuk murah rezeki.

“Oleh itu, kami katakan dia sememangnya layak dinobat sebagai Raja Pecut baharu Asia Tenggara. Tahniah!

“Semoga kejayaan itu dapat memberi semangat dan inspirasi kepada anak muda lain untuk berusaha meraih kejayaan dalam apa jua bidang di samping tidak melupakan perintah agama,” tulis Dr Zulkifli menerusi catatan di laman Facebook miliknya.

Kelmarin, gelaran lelaki terpantas rantau ini kekal milik Malaysia selepas Haiqal mengungguli acara riben biru 100 meter dengan masa 10.35 saat sekali gus mencipta catatan peribadi terbaiknya di Stadium Olahraga New Clark City.

Pelari pecut itu meneruskan legasi Khairul Hafiz Jantan yang tidak beraksi pada edisi kali ini selepas menjuarai gelaran itu di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Haiqal turut mendedikasikan penghargaan kepada kedua ibu bapanya, jurulatih dan seluruh rakyat yang mendoakan kejayaannya pada temasya dwitahunan itu.

“Kalau kita mahu berjaya, jangan sesekali tinggalkan solat, dekatkan diri dengan Allah dan jangan pernah putus asa kerana Allah sentiasa mendengar doa kita.

“Pingat emas ini bukan untuk saya saja malah untuk seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih kepada semua terutama ibu bapa dan jurulatih,” tulisnya menerusi beberapa ciapan di laman Twitter miliknya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 9:58 PM