Safuwan tonggak import terbaharu Selangor. FOTO Ihsan Pembaca/ ROTP.
Meor Riduwan Meor Ahmad


PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini mengesahkan mereka menandatangani bekas pemain Melbourne City FC dan pemain kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin.

Berdasarkan berita di laman web rasmi FAS pemain itu diyakini mampu memantapkan lagi pasukan Selangor untuk musim depan berikutan mampu beraksi di bahagian pertahanan dan tengah.

Katanya, Safuwan pernah memenangi Liga Super pada 2013 bersama Lions XII dan gandingannya bersama Baihaki Kaizan pada ketika itu di bahagian pertahanan sukar untuk digugat.

"Safuwan menjadi pemain import terakhir ditandatangani oleh Red Giants bagi musim ini. Semoga kehadirannya untuk musim 2020 akan menjadikan skuad Red Giants tampil lebih ampuh," katanya.

Menurut laporan itu, Safuwan pernah beraksi bersama pasukan Liga Australia iaitu Melbourne City FC secara pinjaman pada 2015 sebelum berpindah ke pasukan PDRM FA setahun kemudian.

"Namun tahun lalu Safuwan menyertai Pahang dan mencatat 36 penampilan serta menjaringkan dua gol. "Bersama skuad Singapura pula dia mencatat 96 penampilan dengan 11 gol berjaya dijaringkan," katanya," Selangor dibimbing ketua jurulatih B Sathianathan setakat ini mengekalkan khidmat Sandro Da Silva, Rufino Segovia dan Taylor Regan selain menandatangani pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 2:02 PM