FARAH Ann ketika beraksi dalam gimnastik artistik Sukan SEA Filipina 2019.

MANILA: Di sebalik kehampaan beberapa jenis sukan yang gagal mencapai sasaran di Sukan Sea Filipina 2019, masih ada yang boleh dibanggakan terutama pencapaian hebat atlet dari sukan gimnastik, badminton, skuasy, karate, terjun dan olahraga.

Jika ada anugerah atlet terbaik sudah pastinya ia menjadi milik ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi yang membolot tiga emas pada edisi ke-30 ini.

Ooi Tze Liang pula mungkin boleh dijulang sebagai atlet lelaki terbaik berdasarkan kejayaannya meraih dua emas dalam acara terjun yang juga emas ke-11 dikumpulnya sepanjang penyertaannya dalam Sukan Sea bermula 2011.

Farah yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ternyata unggul dan sukar digugat oleh mana-mana atlet di rantau ini apabila dia mudah memenangi acara senaman lantai, palang bertingkat dan individu keseluruhan.

Malah, menerusi kecemerlangan Farah itu, dia turut muncul penyumbang terbesar buat pasukan gimnastik yang meraih sembilan emas untuk mengatasi sasaran lapan emas yang diletakkan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) sebelum ini.

Tze Liang, 26, yang berasal dari Pulau Pinang pula mempertahankan acara 3 meter papan anjal individu buat kali keempat berturut-turut sejak edisi 2013 di Myanmar.

Dia turut memercikkan kilauan emas menerusi acara 3 meter papan anjal seirama bersama pasangannya, Chew Yiwei.

Selain dua ikon dari sukan gimnastik dan terjun, gelanggang skuasy turut berpesta emas apabila menyapu semua empat acara yang dipertandingkan kali ini.

Dalam pada itu, satu rekod temasya dicipta oleh kontinjen negara menerusi perenang, Phee Jing En dalam acara 100 meter kuak dada dengan catatan 1 minit 08.50 saat (s) sekali gus mengatasi rekod lama 1:09.00s.

Jing En, 22, turut cemerlang dalam acara 50 meter kuak dada dengan emas kedua buat menghantar isyarat bahawa dia adalah jaguh masa depan buat pasukan renang negara.

Tidak ketinggalan, sukan badminton yang menuai tiga emas daripada tujuh acara yang dipertandingkan.

Malah, pencapaian skuad badminton ini adalah adalah yang terbaik di luar Kuala Lumpur sejak kali terakhir mendominasi acara itu pada 1975.

Boling padang yang sering menjadi lubuk emas negara tidak menghampakan apabila membawa pulang empat emas untuk meneruskan penguasaan Malaysia dalam sukan itu.

Untuk rekod, dua tahun lalu di Kuala Lumpur kem boling padang hanya meraih tiga emas dan ia pencapaian terbaik daripada pasukan itu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 6:00 AM