Ferrari akan kurangkan kelajuan di laluan lurus. FOTO Agensi
Reuters

FERRARI akan melancarkan kereta baru Formula Satu (F1) mereka pada 11 Februari tahun depan dengan kelajuan dikurangkan berbanding tahun ini.

Kereta berkenaan dijangka memiliki pakej lebih baik untuk mencabar Mercedes selepas melalui perlumbaan mengecewakan pada 2019.

Bos Ferrari Mattia Binotto memberitahu wartawan di kilang Maranello, Ferrari bercadang menggunakan aerodinamik lebih mantap terhadap kereta 2020 yang masih belum dinamakan.

Pasukan paling lama, paling popular dan paling berjaya, tidak memenangi sebarang kejayaan sejak kali terakhir bergelar juara dunia menerusi pemandu Finland, Raikkonen pada 2007.

“Kami dijangka tidak selaju di laluan lurus seperti biasa kami lakukan,” kata Binotto.

“Kereta kami akan lebih mementingkan tekanan ke permukaan jalan dan keupayaan membelah angin.”

Binotto berkata casis baru kereta melalui ujian rempuhan ketika perkembangan terus dilakukan di dalam terowong angin termasuk beberapa sesi sebelum pakej disiapkan untuk ujian awal di Barcelona pada Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 8:29 PM