Skuad Barca akan berdepan Real dikendalikan Zidane (kanan) Rabu depan. FOTO REUTERS
Reuters

BARCELONA dan Real Madrid berkongsi mata sama di persada La Liga dan kedua-duanya berdepan ujian sukar hujung minggu ini menjelang perlawanan Clasico dijadualkan pada Rabu depan.

Barca bertandang ke Basque Country untuk berdepan pasukan tempat keempat Real Sociedad, Sabtu ini manakala Real mengunjungi Valencia 24 jam kemudian.

Skuad Catalans yang berada di depan pencabar utama mereka dengan perbezaan gol biarpun sama-sama memiliki 34 mata dan dapat merehatkan kesebelasan utama termasuk Lionel Messi.

Barca menewaskan Inter Milan 2-1 pada perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi dengan mereka sudah pun mara ke peringkat kalah mati.

Selepas membuat sukar musim ini, Barca hanya tewas sekali daripada 16 perlawanan mereka dalam semua pertandingan.

Jurulatih Ernesto Valverde merasakan mereka sudah memasuki gear lima pada masa yang tepat.

“Kami dalam keadaan yang baik. Ia bagus sekali dapat melihat tahap konsisten seperti sekarang. Kami perlu melalui laluan sukar untuk membawa kami tahap kami sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 9:16 PM