SEAN Yee raih emas lompat tinggi wanita di Filipina.

KUALA LUMPUR: Di sebalik kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 70 pingat emas, masih ada pencapaian atlet yang boleh dibanggakan pada temasya Sukan Sea ke-30 di Filipina.

Malah kejayaan mereka menyumbang koleksi pingat tanpa mengira warna, serta prestasi ‘mengejut’ yang ditampilkan wajar mendapat pengiktirafan dan dirai.

Prestasi yang dipamerkan Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu Muhammad Haiqal Hanafi, jaguh lompat tinggi wanita Yap Sean Yee, pemain perseorangan wanita S Kisona dan Dr Yew Weng Keng (e-sukan) antara yang mencipta sejarah tersendiri di pentas Sukan Sea.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim berkata, kejayaan yang diperoleh oleh atlet luar jangka adalah hasil daripada usaha gigih, komitmen dan dedikasi mereka terhadap sukan yang diwakili.

“Semua mereka ini telah menonjolkan prestasi yang tidak disangkakan. Jadi, saya rasa dalam kita muhasabah diri, analisis kekurangan diri, kita jangan lupa untuk meraikan pencapaian atlet kita yang bersungguh-sungguh mencipta kejayaan buat kontinjen negara.

“Kita perlu juga lihat kejayaan atlet yang memenangi bukan saja pingat emas tapi juga pingat lain. Ini adalah kejayaan hasil daripada usaha dan dedikasi mereka sekian lama,” katanya.

Dalam pada itu, Steven tidak menafikan pentas temasya dwitahunan ini adalah sebahagian daripada medan untuk menguji prestasi atlet muda yang kali pertama membuat penampilan di gelanggang kompetitif itu.

Menurutnya, hampir 50 peratus atlet yang bertanding pada edisi ke-30 ini adalah mereka yang membuat penampilan pertama dan sebahagian daripadanya adalah atlet berusia bawah 21 tahun.

“Kontinjen kita lebih 50 peratus adalah muka baharu. Ini adalah kali pertama pendedahan dan peluang kepada atlet muda, bukan saja peluang kita mencungkil bakat baharu tapi juga peluang kepada mereka untuk mengukur diri dengan pesaing di rantau ini, selain menjadi satu temasya pendedahan untuk program pembangunan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:00 AM