JOTA meraikan jaringan keempat Wolves di Stadium Molineux. FOTO AFP
Agensi

DIOGO Jota meledak hatrik selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Wolves membelasah Besiktas 4-0 di Molineux dan mara ke saingan kalah mati Liga Europa dengan bergaya, awal pagi tadi.

Pengendali, Nuno Espirito Santo merehatkan Jota di Molineux dengan Wolves telah pun layak dan bakal menentang pencabar kelompok enam teratas Tottenham dalam aksi Liga Perdana di tempat sendiri pada Ahad ini.

Bagaimanapun, Wolves tampak sukar memecah gawang wakil dari Turki itu tetapi kemasukan Jota sebelum sejam perlawanan berlangsung mengubah rentak permainan.

Selepas membuka tirai jaringan tuan rumah pada minit ke-57, Jota meledak gol kedua pada minit ke-63 sebelum Leander Dendoncker menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-67.

Jota yang juga pemain kelahiran Portugal melengkapkan hatriknya pada minit ke-68.

Begitupun, kemenangan Braga 4-2 ke atas Slovan Bratislava bermakna Wolves terpaksa berpuas hati menamatkan saingan Kumpulan K selaku naib juara dan ketinggalan satu mata di belakang kelab Portugal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 9:13 AM