NEYMAR meraikan jaringan ketiga PSG ketika menentang Galatasaray di Parc des Princes. FOTO AFP
AFP

NEYMAR mula mencapai kemuncak prestasi tepat pada masanya buat Paris Saint-Germain selepas pendahulu Ligue 1 itu diasak hebat musuh lama, Marseille yang menikmati pencapaian terbaik dalam liga semenjak 2014.

Bintang Brazil itu yang kembali pulih kecederaan mempamerkan ketajaman sentuhan lewat permainan ketika menentang Montpellier hujung minggu lalu dan beraksi di Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 12 bulan dengan menjaringkan satu gol dan dua bantuan ketika membelasah Galatasaray 5-0, semalam.

Dengan kedudukan selaku juara kumpulan terjamin, jurulatih PSG, Thomas Tuchel tetap menyenaraikan Neymar dan Kylian Mbappe selain Mauro Icardi bagi memberikan dua pemain termahal dunia itu meraih momentum.

"Kami perlu berehat untuk memastikan gelaran Ligue 1 dalam tangan tetapi tidak lupa Liga Juara-Juara, sasaran utama kami,” kata Neymar kepada RMC Sport selepas tamat perlawanan.

Selepas bergelut dengan masa depan tidak menentu di Paris, pemain berusia 27 tahun itu kembali meraih semula sokongan penyokong sendiri.

"Saya tahu saya tiada di sana pada Februari lalu. Kami perlu memikirkan semula sokongan penyokong,” kata Neymar.

"Apa yang menggembirakan saya ialah saya boleh beraksi. Selagi memiliki bola, padang yang bagus selain rakan sepasukan, saya ada semua yang diperlukan,”

PSG yang mempunyai kelebihan satu perlawanan berkunjung ke Saint-Etienne, awal pagi Isnin ini bermakna Marseille boleh mengurangkan jurang mata di puncak liga kepada dua mata sahaja.

Skuad kendalian Andre Villas-Boas kini menang enam perlawanan berturut-turut selepas tewas kali terakhir kepada PSG 0-4 pada Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 11:13 AM