Norza bidas kenyataan Zolkples. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed


“PANDANGAN seumpama itu dianggap tidak adil dan ia suara sumbang yang tidak perlu wujud jika bekerja secara sukarela untuk memartabatkan sukan negara".

Demikian kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria yang membidas kenyataan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengenai prestasi skuad badminton negara pada Sukan Sea Filipina.

"Saya melihat prestasi dipamerkan pemain muda kita amat membanggakan termasuk S Kisona yang berjaya menumpaskan pemain di ranking lebih tinggi.

"Selain itu, kita menafikan negara lain tidak menghantar pemain handalan mereka.

Sebagai contoh, Indonesia turut menghantar pemain utama seperti Anthony Ginting, Jonatan Christie dan Rusli Hartawan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-17 di Wisma OCM di Kuala Lumpur, hari ini.

Pencapaian skuad kebangsaan terutama Kisona dan Lee Zii Jia amat membanggakan kerana menamatkan penantian selama 46 tahun untuk meraih emas serentak dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

Kejayaan cemerlang itu turut diteruskan menerusi gandingan Aaron Chia/Soh Wooi Yik yang menamatkan penantian Malaysia selama 16 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada edisi Vietnam 2003 menerusi gandingan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 3:22 PM