JOFFEY (kanan) ketika berentap dengan peserta dari Ukraine dalam Kejohanan Gusti Lengan Dunia Terbuka, di Poland, baru-baru ini.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Perit harungi pelbagai dugaan termasuk mengeluarkan wang sendiri dan melupakan kerjaya yang diminati antara perkara terpaksa dikorbankan dua jaguh gusti lengan negara, Safuan Asif dan Joffey Jolly untuk memastikan mereka mampu meraih kejayaan gemilang dalam sukan terbabit.

Usaha berterusan mereka itu ternyata berbaloi apabila Joffey berjaya meraih pingat emas dalam kategori senior 70 kilogram manakala perak dan gangsa dimenangi Safuan untuk senior 57 kilogram di Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) yang berlangsung di Rumia, Poland, baru-baru ini.

Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms), Mohd Zil Fadli Abd Halim berkata, dua atlet terbabit mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyertai pertandingan di luar negara termasuk menjalani latihan tanpa mendapat tajaan daripada pihak lain.

Katanya, kejayaan Joffey dan Safuan di luar jangkaan memandang atlet dari negara lain begitu hebat dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk badan sukan masing-masing.

“Jika diikutkan Joffey tidak bekerja ketika ini kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya dalam sukan gusti lengan dengan matlamat mahu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Safuan pula perlu mengharungi perjalanan 80 kilometer dari kawasan pedalaman di Kapar ke Teluk Panglima Garang, Selangor, semata-mata mahu menjalani latihan empat kali seminggu.

“Pengorbanan mereka ini ternyata berbaloi dan membuka mata semua pihak bahawa sukan gusti lengan turut berpotensi mengharumkan nama negara dengan mencipta kejayaan gemilang di peringkat antarabangsa,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro di sini, semalam.

Joffey mengejutkan dunia gusti lengan apabila memenangi pingat emas bersejarah pada kejohanan yang berlangsung 3 hingga 6 Disember lalu.

Ia adalah pingat emas pertama dimenangi atlet Malaysia di kejohanan gusti lengan dunia dan beliau meraihnya dengan kemenangan mengejut ke atas Yurii Dushko dari Ukraine di final.

Atlet gusti lengan profesional dari Telipok itu turut memenangi gangsa dalam kategori tangan kiri.

Kontinjen Malaysia turut kembali dengan tiga lagi perak dan satu gangsa daripada kejohanan itu.

Safuan memenangi perak dalam kategori tangan kanan Lelaki Senior 57kg, dan satu gangsa dalam kategori tangan kiri, sementara atlet dari Sarawak, Abigail Kee Zing Ning memperoleh dua perak dalam kategori Perempuan Junior Bawah-15.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:30 AM