ARTETA (kanan) menikmati kejayaan sebagai penolong Guardiola di Etihad. — FOTO Reuters
ARTETA (kanan) menikmati kejayaan sebagai penolong Guardiola di Etihad. — FOTO Reuters
Reuters

BOS Manchester City, Pep Guardiola menjangkakan “keputusan pantas” mengenai masa depan penolongnya Mikel Arteta, mengesahkan rakan senegaranya dari Sepanyol itu berunding untuk mengisi kekosongan jawatan di Arsenal.

Guardiola berkata, Arteta akan tampil bagi aksi suku akhir Piala Liga Inggeris di Oxford United awal pagi esok namun kelihatan bersedia mengenai prospek kehilangan orang kanannya.

“Saya fikir ia (keputusan) akan dibuat dengan cepat,” kata Guardiola seperti dipetik BBC. “Kenapa tidak? Ia perkara yang bagus.”

Bekas kapten Arsenal, Arteta muncul calon utama menggantikan Unai Emery sebagai pengurus Arsenal selepas ketua eksekutif kelab London itu, Vinai Venkatesham dilihat berada di luar rumah jurulatih berusia 37 tahun itu pada awal pagi Isnin lalu.

ARTETA (tengah) menjulang trofi Perisai Komuniti bersama Arsenal pada 2015. — FOTO Agensi
ARTETA (tengah) menjulang trofi Perisai Komuniti bersama Arsenal pada 2015. — FOTO Agensi

“Mikel akan bersama kami ke Oxford esok,” kata Guardiola. “Kami begitu bijak untuk mengambilnya lebih awal dan kelab lain terlepas. Beliau seorang individu menakjubkan, pengurus yang bagus. Etika kerja. Itulah sebabnya beliau begitu.

“Beliau berunding dengan Arsenal jadi saya tidak tahu. Kini beliau sebahagian daripada kumpulan ini serta staf dan beliau di sini. Apabila kami mendapat berita, saya akan tahu dan anda akan tahu. Kini beliau di sini, esok bersama kami ke tempat lawan. Beliau melatih hari ini dan itu saja.”

Arteta melakukan 149 penampilan bersama Arsenal sebelum menyertai staf kejurulatihan City pada 2016 yang mana beliau menikmati kejayaan sebagai penolong Guardiola, membantu kelab itu meraih dua kejuaraan Liga Perdana berturut-turut.

Guardiola berkata, beliau sudah bercakap dengan Arteta mengenai peluang di Arsenal dan tidak akan menghalangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 12:57 PM