PEMAIN Malaysia, Muhammad Suhairi Effendi (tengah) cuba melepasi kawalan pemain UAE. FOTO Zunnur Al Shafiq
PEMAIN Malaysia, Muhammad Suhairi Effendi (tengah) cuba melepasi kawalan pemain UAE. FOTO Zunnur Al Shafiq
Meor Riduwan Meor Ahmad


MUNCUL juara Kejohanan Ragbi Asia Bawah 19 Tahun (B-19) Divisyen 2 menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam, tidak seharusnya melekakan pemain negara untuk terus berusaha memantapkan pasukan bagi mencapai misi layak ke Piala Dunia Ragbi 2031. Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, penelitian terhadap persembahan skuad B-19 negara pada Ahad dan Rabu, mendapati lebih banyak perlawanan ujian diperlukan bagi membentuk keserasian padu.

Katanya, perjalanan masih jauh dan anak didik ketua jurulatih B-19 negara, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar itu mungkin pasukan pertama yang berpotensi memberi saingan untuk layak ke Piala Dunia Ragbi 2031.

“Ini hanya permulaan, saya harap kita jangan dibuai mimpi dengan kemenangan ini dan harus lihat kepada kekuatan dan aspek perlu ditambah baik. Tahun depan kita akan bermain di Divisyen Satu, sudah tentu saingan hebat.

“Persiapan mesti dibuat dari sekarang dan saya berharap beberapa pemain dalam skuad ini dapat dikekalkan. Mereka ini baru berusia 17 tahun tapi menunjukkan kematangan dan persembahan baik untuk bermain di peringkat antarabangsa,” katanya ditemui pada aksi kedua kejohanan itu berlangsung di Padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Shahrul Zaman berkata, KRM sememangnya akan mengatur lebih banyak perlawanan ujian selepas melihat menilai prestasi skuad B-19.

“Kita perlu banyak perlawanan ujian untuk pemain menimba pengalaman dan bermain lebih lama sebagai satu pasukan khususnya dengan pasukan luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 9:23 PM
Digital NSTP Subscribe