EDIN DZEKO
EDIN DZEKO
Reuters

ROMA mengekalkan kedudukan mereka dalam kelompok teratas Serie A selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Fiorentina yang sehingga kini masih belum beroleh kemenangan dalam tujuh perlawanan liga berturut-turut.

Jaringan Edin Dzeko dan Aleksandar Kolarov serta jaringan lewat permainan menerusi Lorenzo Pellegrini dan Nicolo Zaniolo memastikan tiga mata buat pelawat.

Roma, di tangga keempat dengan 35 mata, kini tinggal hanya satu mata di belakang penghuni tangga ketiga Lazio, yang tidak bermain hujung minggu ini kerana akan berdepan Juventus dalam saingan Piala Super UEFA di Arab Saudi awal pagi Isnin.

Fiorentina, yang diambil alih jutawan Amerika Syarikat Rocco Commisso sebelum permulaan musim, kini di tangga ke-14 dengan 17 mata, hanya empat mata di atas zon penyingkiran.

Roma, tewas 1-7 pada kunjungan sebelumnya ke stadium Artemio Franchi Januari lalu, mendahului permainan pada minit ke-19.

Lorenzo Pellegrini menghantar bola kepada Nicolo Zaniolo yang kemudian membuat umpanan untuk gol pembukaan Dzeko.

Dua minit kemudian Kolarov menambah jaringan menerusi gol sepakan percuma ketiganya musim ini.

Milan Badelj merapatkan jurang pada minit ke-34 namun Pellegrini kembali menjarakkan kedudukan selepas memanfaatkan umpanan Dzeko pada minit ke-73.

Zaniolo menyempurnakan serangan balas untuk gol keempat ketika permainan berbaki dua minit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 12:34 PM