Roshadi (kiri) bersama Mintah. FOTO TFC
Roshadi (kiri) bersama Mintah. FOTO TFC
Malik Muhamad


PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab gembira melihat prestasi kian meningkat dipamerkan ayam tambatannya dari Ghana, Jordan Mintah.

Beliau yakin bekas penjaring terbanyak Liga Filipina musim itu mampu menyinar pada pentas Liga Perdana musim depan.

“Setakat ini saya puas hati dengan persembahan pemain itu (Mintah) yang beraksi dengan baik bersama pasukan pada sesi latihan sejak tiba pada awal Disember lalu.

“Pemain itu membentuk persefahaman dengan pemain sedia ada termasuk pemain import walaupun belum 100 peratus lagi.

“Namun begitu kita belum uji lagi dalam aksi persahabatan tetapi yakin pemain terbabit mampu memperagakan aksi terbaik dalam saingan liga nanti,” ujar Roshadi.

Musim depan skuad The Turtles bakal menggunakan empat tenaga import termasuk bekas pertahanan tinggi lampai PDRM, Argzim Redzovic serta mengekalkan pemain tengah kelahiran Ivory Coast, Marcel N'Guessan dan penyerang Bruno Suzuki dari Jepun.

Skuad yang mendapat sentuhan legenda bola sepak Terengganu, Sapian Wahid turut membawa masuk lima pemain daripada pasukan Piala Presiden serta bekas pemain negeri beraksi bersama pasukan lain musim ini.

“Kita sudah merangka beberapa siri perlawanan persahabatan bagi memantapkan lagi pasukan selain mengenal pasti kelemahan dan kekuatan yang ada dalam misi merampas kembali trofi Piala Cabaran musim depan selain berada dalam tiga tempat teratas Liga Perdana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 5:35 PM