IZUAN Ibrahim.
IZUAN Ibrahim.
Ferzalfie Fauzi


PEMERGIAN jurulatih badminton, Izuan Ibrahim ternyata menyentuh keluarga badminton termasuk dalam dan luar negara tidak terkecuali pemain nombor satu dunia, Kento Momota.

Momota yang juga bekas anak didik Allahyarham mengakui bahawa kematian jurulatih berusia 35 tahun itu adalah satu kehilangan besar buat dunia badminton.

“Saya tidak akan berada di mana saya berada sekarang tanpa bantuan jurulatih, Izuan Ibrahim. Saya berbesar hati dapat berada di bawah insan berjiwa murni,” katanya menerusi Twitter.

Selepas Momota berjaya membantu Jepun muncul juara Piala Thomas 2014, tular di media sosial mengenai kisah pemain muda Jepun itu yang beraksi dengan cemerlang dan pernah mendapat bimbingan dari Allahyarham ketika di usia remaja.

Selain pernah melatih skuad pelapis negara Matahari Terbit itu, Allahyarham juga pernah berkongsi kemahirannya melatih pemain di Kelab Badminton Wilayah Ehime.

Bekas ketua jurulatih Perlis itu meninggal dunia pada jam 7.20 malam semalam selepas tidak sedarkan diri sejak minggu lalu akibat pendarahan otak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 8:47 AM