AKSI Jimenez menjaringkan gol kedua Wolves di Molineux. FOTO Reuters
AKSI Jimenez menjaringkan gol kedua Wolves di Molineux. FOTO Reuters
Reuters

MANCHESTER City gagal memanfaatkan kelebihan dua gol awal apabila tewas 2-3 kepada Wolverhampton Wanderers di Molineux awal pagi tadi sekali gus ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Liverpool.

Jaringan kemenangan Matt Doherty pada minit ke-89 bermakna Liverpool 13 mata mengatasi pencabar di tangga kedua, Leicester City yang ditewaskan 4-0 semalam dengan skuad Juergen Klopp berkelebihan satu perlawanan berbanding dua kelab terbabit.

"Tiada siapa sangka kami begitu jauh di belakang Liverpool ketika ini,” kata pemain tengah City, Bernardo Silva.

"Kami perlu terus berjuang dan kami tahu menangi gelaran sangat sukar. Saya tak kata ia mustahil tapi sangat sukar.”

Wolves yang turut menewaskan City 2-0 pada Oktober lalu muncul pasukan kedua melengkapkan dua kemenangan ke atas skuad Pep Guardiola selepas Chelsea pada 2016-17 dan ia satu lagi kebangkitan buat skuad Nuno Espirito Santo.

Skuad Midlands itu kini meraih 14 mata daripada perlawanan yang mereka hampir tewas, lebih daripada mana-mana pasukan dalam liga.

Penjaga gol City dari Brazil, Ederson dibuang padang selepas menjatuhkan Diogo Jota dan sayap England, Raheem Sterling meletakkan pelawat di depan menerusi penalti pada minit ke-25.

Sterling kemudiannya menggandakan jaringan buat City lima minit selepas rehat apabila tenang menyempurnakan hantaran cantik Kevin De Bruyne.

Wolves kembali temui rentak lima minit kemudian menerusi Adama Traore yang dua kali menjaringkan gol ketika Wolves menang di City pada Oktober lalu. Dia meledak rembatan rendah menewaskan penjaga gol, Claudio Bravo dari luar kotak penalti.

Pertahanan City yang longgar City terserlah apabila Benjamin Mendy ‘menghadiahkan’ gol penyamaan Wolves ketika permainan berbaki 10 minit. Kecuaian pemain Perancis itu yang cuba membiarkan bola keluar garisan untuk sepakan gol dirampas Raul Jimenez yang kemudiannya menolak bola ke gawang.

Jaringan kemenangan dramatik pada minit ke-89 apabila Doherty melepasi kawalan pertahanan City dan meledak rembatan melepasi jangkauan Bravo.

Sterling hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan namun sepakan percumanya terkena palang.

"80 minit menentang 11 pemain memang sukar, kami gagal mempertahankan kelebihan,” kata Guardiola.

"Kami perlu fikirkan aksi seterusnya dan menang. Sudah tidak realistik mengejar Liverpool. Dalam masa 48 jam lagi kami ada perlawanan lain,” katanya lagi.

Espirito Santo pula berkata skuadnya menghadiahkan detik sangat bermakna kepada penyokong mereka.

"Malam yang sangat bagus dengan aksi fantastik. Semuanya berubah selepas City beraksi kurang satu perlawana tetapi ia sangat bagus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 7:28 AM