Gopi Rizqi kembali sertai Tok Gajah. FOTO fail NSTP
Gopi Rizqi kembali sertai Tok Gajah. FOTO fail NSTP
Asrol Awang


PEMAIN tengah Pahang, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra tidak menduga sama sekali dapat kembali menyarungi jersi skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

Ini kerana bukannya mudah buat seorang pemain yang pernah mewakili dan meninggalkan skuad Pahang akan kembali menyertai skuad itu. 

Namun, Gopi Rizqi menganggap rezekinya selepas berkelana selama empat musim termasuk beraksi di Liga Perdana musim lalu. 

"Kesudian dan kepercayaan diberikan pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) terutama Presiden (Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah) akan dibalas dengan aksi dan prestasi konsisten. 

"Segalanya diharap menjadi untuk memastikan Pahang kembali meraih kejuaraaan seperti yang pernah saya kecapi pada 2013," katanya. 

Mengulas sesi latihan bersama rakan sepasukan, Gopi Rizqi mengakui sesuatu yang asing selepas meninggalkan skuad Tok Gajah pada 2016.

Justeru, dia perlu lebih bersedia terutama membentuk persefahaman kerana hanya pernah bermain bersama Matthew Davies, Nor Azam Azih dan Mohd Faisal Rosli. 

"Fokus utama sekarang ialah meningkatkan kecergasan dan kualiti permainan selepas semusim tidak beraksi dalam Liga Super. 

"Saya percaya sokongan daripada rakan sepasukan dan peminat Tok Gajah akan meningkatkan motivasi untuk membantu Pahang menjulang kejuaraan. 

"Kejayaan manis mengucup Piala Malaysia pada 2013 dan 2014 serta Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2014 memberikan kekuatan kepada saya," katanya. 

Berdasarkan rekod, Gopi Rizqi memulakan kerjaya sebagai pemain profesional bersama Pahang selama enam musim dari 2010 hingga 2015, disusuli Selangor (2016), Johor Darul Ta'zim (JDT) (2017), Melaka United (2018) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 2:36 PM