Shamsurin mahu raih kejayaan manis bersama skuad Akademi Melaka United. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Shamsurin mahu raih kejayaan manis bersama skuad Akademi Melaka United. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


BEKAS penyerang kebangsaan, Melaka dan Sarawak, Shamsurin Abd Rahman berazam meraih kejayaan manis bersama skuad Akademi Bolasepak Melaka United (MU) dalam saingan Liga Bolasepak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) musim ini.

Dia yang baru dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 17 akademi itu berkata, segala pengalamannya sebagai pemain termasuk skuad Johor FC dan Perlis azimat berharga buatnya untuk membentuk akademi berkenaan.

Katanya, walaupun tugas dilihat mencabar berikutan terpaksa merangka strategi selain mengasah bakat baharu namun dia yakin mampu melakukan yang terbaik.

"Kini kami dalam proses pemilihan awal barisan pemain dengan beberapa fasa penilaian sebelum senarai akhir dimuktamadkan.

"Kerja keras perlu dilakukan berikutan skuad ini adalah berbeza dengan pasukan Sekolah Sukan Seri Kota yang turut menyertai liga berkenaan,"katanya.

Shamsurin, bekas jurulatih Seri Kota 2019 membawa skuad terbabit mara ke suku akhir sebelum tewas 0-3 kepada Akademi Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Shamsurin yang juga penggempur berbisa skuad negara 1994-1997, Melaka 1988-1992 dan Sarawak 1993-1998 juga berazam mahu melahirkan penyerang berbisa seperti eranya dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 8:50 PM