RODGERS (kiri) berkata sesuatu kepada penyerangnya, Jamie Vardy. FOTO REUTERS
RODGERS (kiri) berkata sesuatu kepada penyerangnya, Jamie Vardy. FOTO REUTERS
AFP

BRENDAN Rodgers memberi amaran bahawa Leicester terpaksa menempuh laluan berliku untuk mara ke final Piala Liga selepas jaringan lewat Kelechi Iheanacho memastikan keputusan seri 1-1 dengan Aston Villa awal pagi tadi.

Skuad kendalian Rodgers ketinggalan susulan jaringan Frederic Guilbert pada separuh masa pertama aksi separuh akhir pertama di Stadium King Power.

Namun Iheanacho turun dari bangku simpanan untuk menyamakan jaringan dengan gol keenam daripada lapan penampilannya musim ini.

Leicester berpendapat mereka sepatutnya menang selepas mendominasi perlawanan, namun pasukan di tangga kedua Liga Perdana Inggeris itu terpaksa menyudahkan misi mereka di Villa Park pada aksi timbal balik 28 Januari ini.

“Secara keseluruhannya saya fikir kami mendominasi perlawanan. Villa berjaya melakukan hadangan dan penjaga gol mereka beraksi dengan baik,” kata Rodgers.

“Perlawanan membabitkan dua aksi ini pastinya sukar dan kami perlu menderita untuk ke final, namun pemain menunjukkan keyakinan.”

Rodgers memiliki rekod cemerlang mara ke peringkat seterusnya daripada 30 piala domestik bersama Liverpool, Celtic dan Leicester.

Namun pasukan terakhir yang menewaskan Rodgers dalam peringkat kalah mati kejohanan domestik adalah Villa iaitu pada separuh akhir Piala FA 2014-15 ketika beliau menjadi pengurus Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 9:31 AM