KUALITI udara buruk di Melbourne Park menyebabkan aksi kelayakan terpaksa ditangguhkan. FOTO AFP
AFP

SESI kelayakan bagi saingan Terbuka Australia terpaksa ditangguhkan selepas asap toksik berpunca daripada kebakaran hutan merebak ke Melbourne.

Keputusan menangguhkan acara itu selepas pemain berdepan dengan kesukaran untuk bernafas dengan pemain Kanada, Eugenie Bouchard terpaksa menerima rawatan perubatan.

“Keadaan di Melbourne Park akan di awasi dengan rapi,” kata Tennis Australia.

Menurut Biro Meteorologi dan saintis dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Victoria, keputusan lanjut akan dibuat berdasarkan kepada dapatan data semasa dan perbincangan bersama pasukan perubatan kejohanan.

Kualiti udara di Melbourne dilaporkan sangat buruk pada sebelah pagi tetapi tidak berada di tahap bahaya seperti semalam.

Bacaan itu bermakna, keadaan udara agak berasap dan berdebu sekali gus boleh menyebabkan orang ramai berisiko berdepan masalah batuk dan kesukaran bernafas.

Ia berpunca daripada kebakaran hutan besar yang menyaksikan sekurang-kurangnya 27 orang maut dan lebih 2,000 rumah musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 10:42 AM