PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) melancarkan Liga Malaysia 2020 di Hotel Acappella Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Syazwan Msar


KAEDAH berlembut sudah tidak digunakan lagi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila tiga pasukan Liga Malaysia diberikan amaran akhir supaya selesaikan segera masalah berkaitan tunggakan gaji dan hutang yang masih lagi gagal diselesaikan mereka dalam tempoh dua bulan.

Hal ini bermakna jika gagal menyelesaikan tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pemain, pasukan berkenaan boleh dikenakan hukuman pemotongan sehingga enam mata jika gagal berbuat demikian sebelum 28 Febuari.

Malah, jika masalah terbabit masih membelenggu tiga pasukan berkenaan, mereka boleh dikenakan hukuman lebih berat iaitu disingkirkan dari saingan liga untuk musim ini.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung, FAM Stuart Ramalingam yang mahu tindakan tegas diambil terhadap pasukan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji walaupun sudah diberikan tempoh berbuat demikian.

“Saya boleh sahkan tiga pasukan terima amaran terakhir iaitu jika gagal menyelesaikan tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pemain sebelum 31 Januari, mereka akan dikenakan pemotongan tiga mata.

“Malah, tiga pasukan terbabit juga berpotensi disingkirkan dan perlu bermula di liga lebih bawah sebagai contoh jika sebelum ini bermain di Liga Super mereka akan turun ke Liga Premier pada musim depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Liga Malaysia 2020, hari ini.

Sebelum itu, desas desus mengatakan tiga pasukan iaitu Kelantan, Melaka dan PDRM bakal berdepan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) jika tunggakan gaji daripada bekas pemain gagal dilunaskan.

Beberapa bekas pemain import melaporkan masalah tunggakan gaji kepada Fifa dan jika gagal diselelesaikan, Kelantan akan dihukum pemotongan mata.

Jika disorot semula kes terdahulu, Pulau Pinang dan Pahang pernah dipotong 6 mata atas arahan FIFA. Musim lalu Kelantan dipotong 3 mata kerana gagal melunaskan hutang Alfredo Gonzalez, bekas Pengarah Teknikal pasukan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 11:58 PM