KUALA LUMPUR 17 JANUARI 2020. Pemain TNB Thuderbolts, Muhammad Akram Hakkam (kiri) dihalang pemain UniKL, Kieran Ian Govers ketika perlawanan Liga Hoki Malaysia 2020 di di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO Asyraf Hamzah
Saiful Affendy Sapran


KEHADIRAN semula Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil bersama pasukan nyata memberi suntikan semangat kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mencatat kemenangan keempat liga dengan menewaskan TNB Thunderbolts 4-2 semalam.

Tengku yang lebih dikenali sebagai Zidane dikalangan rakan sepasukan, dilihat berada di tempat duduk pemain meskipun baru keluar dari hospital.

Dia selamat menjalani pembedahan di bahagian rahang selepas mengalami kecederaan teruk terkena pukulan bola yang kuat ketika bertemu Hockademy pada perlawanan kedua liga.

“Saya rasa dia mesin bukan manusia. Zidane sudah menjalani latihan ringan dengan pemain walaupun baru keluar hospital dan memerlukan masa antara empat hingga enam minggu untuk kembali pulih.

“Saya boleh katakan dia menjadi pemain contoh bagi pasukan kami. Dia memberi satu tenaga dan semangat tambahan kepada pemain.

“Ketika Zidane berada di hospital, pemain nampak tidak begitu bersemangat ketika menjalani latihan,” kata pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Thunderbolts di depan menerusi jaringan padang Nasrul Syahkhir Sadikul seawal minit keempat.

Namun UniKL bangkit meledak tiga gol sumbangan Muhammad Razie Abd Rahim minit kelima, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (m-14) dan Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah (m-25).

Thunderbolts cuba merapatkan jurang apabila memperoleh gol kedua hasil pukulan sudut penalti Muhammad Fahmi Khalid minit ke-46 sebelum Timothy Deavin mengesahkan kemenangan UniKL menerusi gol padang minit ke-49.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 12:50 AM