JUERGEn Klopp. FOTO Agensi
JUERGEn Klopp. FOTO Agensi
Reuters

PERTUKARAN tarikh Kejohanan Piala Negara Afrika 2021 daripada Jun ke Januari bagaikan malapetaka kepada Liverpool, menurut pengurus, Juergen Klopp.

Persekutuan Bolasepak Cameroon, FECACOOT mengumumkan kejohanan itu bakal berlangsung pada Januari dan Februari tahun depan bagi mengelakkan musim hujan.

Tiga pemain utama Reds termasuk penyerang Sadio Mane, Mohamed Salah dan pemain tengah, Naby Keita terbabit dengan pasukan kebangsaan Senegal, Mesir dan Guinea yang memaksa mereka tersisih selama sebulan.

"Bagi kami ia adalah malapetaka,” kata Klopp kepada wartawan. “Saya tetap hormati Piala Negara Afrika kerana saya suka kejohanan itu dan banyak menyaksikan perlawanan sebelum ini, ia kejohanan sangat menarik.

"Saya faham tujuan pindaan tarikh itu dan kami tiada kuasa. Jika kami melarang mereka pergi, mereka akan digantung. Bagaimana sebuah kelab yang membayar gaji pemain tidak dapat membuat keputusan. Jika dia cedera, kami perlu menghantarnya ke Afrika supaya mereka dapat melihatnya.”

Klopp juga berpendapat pemain Alfrika mungkin merana di Eropah apabila tiada kelab mahu menandatangani mereka pada Januari apabila mengetahui khidmat pemain terbabit tidak dapat digunakan sebulan.

"Ia tidak banyak membantu Afrika. Kami tidak akan menjual Sadio, Mo dan Naby kerana mereka akan beraksi pada Januari. Tetapi jika mahu membeli seorang, anda perlu fikir mereka tidak akan beraksi sehingga sebulan,” kata Klopp.

Kejohanan itu yang diadakan setiap dua tahun ditukarkan ke Jun-Julai tahun lalu ketika berlangsung di Mesir bagi mengelakkan pertindihan dengan kelab Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 11:55 AM