REBIC muncul wira Milan selepas menjaringkan gol kemenangan di masa kecederaan. FOTO Afp
AFP

ANTE Rebic meledak dua gol untuk membantu AC Milan mencatat kemenangan 3-2 menumpaskan Udinese dalam saingan Serie A sekali gus mendekatkan mereka di kedudukan melayakkan diri ke saingan Liga Europa.

Penyerang, Zlatan Ibrahimovic diletakkan dalam kesebelasan utama buat pertama kali di San Siro selepas menjaringkan gol hujung minggu lalu menentang Cagliari.

Pemain kelahiran Sweden berusia 38 tahun itu tidak dapat menyumbang gol untuk menggemberikan penyokong tuan rumah namun kehadirannya memberikan keyakinan tinggi buat gergasi Itali itu yang memungut tujuh mata dalam tiga perlawanan.

“Kami bermula dengan sedikit ketegangan namun saya berpuas hati dengan prestasi pasukan, kami memberikan segalanya untuk mencatat kemenangan,” kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

Udinese terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Jens Stryger Larsen pada minit keenam, namun tuan rumah bangkit pada separuh masa kedua hasil gol penyamaan Rebic (48’).

Milan berada di depan hasil gol Theo Hernandez yang melakukan sepakan voli pada minit ke-72, sebelum Kevin Lasagna menyamakan kedudukan lima minit sebelum masa sebenar tamat.

Bagaimanapun, Rebic muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 11:54 PM