JAMES Selvaraj.
JAMES Selvaraj.
Oleh Saiful Affendy Sapran


TIDAK semua bersetuju dengan keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang meluluskan penggunaan bulu tangkis sintetik bermula 2021.

Antara yang kurang senang dengan keputusan BWF itu adalah bekas pemain negara, Datuk James Selvaraj yang menganggap ia akan mengubah keseluruhan rentak permainan.

“Pergerakan bulu tangkis sintetik lebih cepat berbanding bulu tangkis sedia ada. Jadi ia menyebabkan pemain sukar untuk mengawal bola.

“Anda tidak boleh lagi melihat kebijaksanaan pemain beraksi di atas gelanggang. Ia akan mengubah keseluruhan permainan.

“Bagi saya, ia bukanlah idea yang bagus. Seelok-eloknya kekalkan saja penggunaan bulu tangkis biasa,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Reaksi sama dilontarkan beregu utama negara, Aaron Chia yang berpendapat tidak sesuai menggunakan bulu tangkis sintetik di kejohanan antarabangsa.

“Ia seperti bulu tangkis plastik. Mungkin dari sudut positif, ia membantu dunia (alam sekitar).

“Tapi dari sudut negatif saya tidak rasa ia sesuai digunakan untuk kejohanan. Ini kerana kualiti bulu tangkis itu sangat berbeza,” katanya.

Aaron yang juga naib juara Seluruh England tahun lalu bersama rakan segandingannya, Soh Wooi Yik berkata, kelajuan bulu tangkis sintetik tidak dapat dijelaskan dengan terperinci.

“Ia mungkin seperti yang ada di pasaran sekarang. Apapun seperti saya katakan tadi, ia tidak sesuai untuk digunakan di kejohanan antarabangsa,” katanya.

BWF menerusi satu kenyataan kelmarin menyatakan selepas ujian berterusan ke atas pelbagai prototaip yang dijalankan sewaktu pembangunan melalui kerjasama teknologi bersama Yonex, bulu tangkis sintetik didapati lebih tahan lama dan jimat berbanding bulu tangkis asli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:01 AM
Digital NSTP Subscribe