KENYATAAN dari PBNP selepas laman Twitter rasmi pasukan digodam oleh individu tidak bertanggung jawab dengan video clip lucah. FOTO Nstp/Ihsan Pahang FA


PERSATUAN Bolasepak Pahang (PBNP) memohon maaf di atas paparan klip video beruncur lucah di laman sosial rasmi Twitter @The Official Pahang, semalam.

Menurut kenyataan rasmi Facebook Pahang FA, akaun Twitter Pahang FA itu digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Satu laporan sudah dilakukan kepada pihak berkuasa kerana ia mencemarkan imej pasukan Pahang.

“Pihak kami memohon maaf di atas perkara yang berlaku. Twitter @The OfficialPahang ditutup buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, peminat bola sepak, khususnya penyokong skuad Tok Gajah terkejut apabila mendapati klip video lucah di akaun Twitter Pahang FA.

Berikutan itu, pelbagai maklum balas dalam kalangan peminat yang terkilan kerana sepatutnya Twitter Pahang FA memberi tumpuan kepada laporan berkaitan pembentukan pasukan.

Sebaliknya, akaun itu menjadi tumpuan peminat bola sepak disebabkan klip video terbabit berbanding persiapan Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Setakat ini, Pahang belum membuat sebarang pengumuman berhubung pembentukan pasukan selepas beberapa pemain utama tidak dilanjutkan kontrak, termasuk empat import.

Dalam saingan Liga Super musim ini, skuad Pahang akan memulakan kempen bertemu musuh tradisi, Selangor di Stadium Darul Makmur, 29 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 1:47 PM