Alvaro Odriozola. FOTO File AFP
AFP

BAYERN Munich menandatangani pertahanan kanan Real Madrid, Alvaro Odriozola dengan perjanjian pinjaman sehingga penghujung musim ini, perkara itu disahkan kedua-dua kelab terbabit hari ini.

Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 24 tahun akan memperkuatkan barisan pertahanan Bayern, yang dilihat mempunyai tidak banyak pilihan dengan pertahanan tengah Niklas Suele dan Lucas Hernandez terpaksa diketepikan akibat kecederaan lutut.

“Kami memutuskan untuk memenuhi permintaan ketua jurulatih kami Hansi Flick untuk memperkuatkan barisan pertahanan dan bersama-sama kami memutuskan untuk mendapatkan Alvaro Odriozola,” kata pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge dalam satu kenyataan.

“Kami sangat gembira mengenai perjanjiannya dan mahu berterima kasih kepada mereka yang memainkan peranan di Real Madrid kerana memberi kerjasama yang baik dan penyelesaian cara korporat.”

Perpindahan itu membantu kedua-dua pihak ketika Odriozola, yang ditandatangani dari Real Sociedad untuk 35 juta Euro pada 2018, terpaksa bergelut ketika beraksi di Madrid, apabila Dani Carvajal menjadi pilihan di posisi pertahanan kanan.

Pemain kelahiran Basque, yang memenangi empat kap penampilan bersama Sepanyol, dikeluarkan ketika kekalahan 0-1 ke atas Mallorca di gelanggang lawan pada pertengahan Oktober dan tidak beraksi dalam La Liga sejak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 10:02 PM