X
Saiful Affendy Sapran

NOR Saiful Zaini Nasiruddin mengesahkan menolak tawaran selaku penolong jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara yang kini diketuai oleh Wallace Tan.

Jelas legenda skuad hoki negara itu, dia menolak dengan baik tawaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kerana berasakan tidak sesuai untuknya menggalas tugas itu selepas empat tahun menjadi ketua jurulatih skuad remaja.

“Saya hormati keputusan MHC. Mungkin mereka berasakan Wallace lebih baik berbanding saya tapi saya tidak boleh biarkan Wallace untuk terima saja barisan kejurulatihannya.

“Jadi lebih baik untuk Wallace mencari pembantu yang sesuai dengannya. Malah saya juga sudah beritahu dia untuk menolak tawaran selaku penolong jurulatih. Falsafah latihan saya berbeza dengan Wallace. Jadi ia mungkin menyukarkan kami apabila bekerjasama nanti,” katanya.

Jawatankuasa Kejurulatihan MHC yang diterajui oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal kelmarin membuat keputusan mengejut apabila melantik Wallace selaku ketua jurulatih skuad remaja lelaki ketika Nor Saiful sudah empat tahun membimbing pasukan itu.

Namun di sebalik itu, Nor Saiful yang juga ketua jurulatih TNB masih mampu mengukir senyuman apabila skuad bimbinganya berjaya menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 4-2 semalam sekali gus kekal memimpin saingan Liga Perdana dengan mengumpul 15 mata.

Faizal Saari meletakkan THT di depan minit ke-18 menerusi gol padang tetapi TNB memperoleh empat gol selepas itu sumbangan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (m-28), Muhammad Shahril Saabah (m-38), Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m-49) dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m-52).

Faizal kemudian meraih gol kedua THT lima minit sebelum tamat perlawanan.

Sementara itu, Jawatankuasa Kejurulatihan MHC menetapkan satu Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kepada ketua jurulatih skuad senior negara, Roelant Oltmans menjelang kejohanan antarabangsa pertama Malaysian Tigers pada saingan Piala Sultan Azlan Shah bermula 11 April depan.

KPI yang ditetapkan ialah Oltmans perlu memastikan skuad negara layak ke final kejohanan jemputan itu yang kali ini disertai oleh Australia, Kanada, Jepun, Korea Selatan dan Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 6:01 AM
Kabinet Malaysia 2020