RONALDO meraikan jaringannya ketika bertemu Roma dalam saingan suku akhir Piala Itali malam tadi. FOTO AFP
AFP

JURULATIH Juventus, Maurizio Saari memuji ibu Cristiano Ronaldo kerana menjadi penyebab utama bintang Portugal itu meneruskan rentak jaringan terutama selepas membantu mereka mara ke separuh akhir Piala Itali selepas menumpaskan AS Roma 3-1.

Ronaldo menyambut hantaran lintang Gonzalo Higuain pada minit ke-26, sebelum melepaskan rembatan gol walaupun ruang untuk menghasilkan jaringan agak terhad.

Ia adalah gol ke-12 pemain berusia 34 tahun itu dalam lapan perlawanan berturut-turut merangkumi semua kejohanan namun ini adalah penampilan sulungnya di Piala Itali.

Pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali itu sudah meledak tujuh gol dalam empat aksi tahun ini.

“Saya percaya pujian harus diberikan kepada ibunya. Dia sangat luar biasa dari segi fizikal. Dari segi ledakan dia memang sangat terbaik, semuanya dijaga dengan teliti.

“Ia sangat sukar untuk mempertingkatkan tahap individu. Kita bercakap mengenai salah seorang daripada pemain terbaik sepanjang zaman dan saya mahu membantunya meraih anugerah Ballon d’Or buat kali keenam,” kata Sarri.

Rodrigo Bentancur menambah gol kedua selepas 38 minit, sebelum pertahanan Leonardo Bonucci menanduk masuk jaringan ketiga sebelum rehat.

Cengiz Under menjaringkan gol semangat buat Roma selepas bersambung babak kedua, apabila merembat bola mengenai palang sebelum ia melantun terkena penjaga gol, Gianluigi Buffon.

Buffon turut menyelamatkan percubaan Alessandro Floremzi dan Aleksandar Kolorav untuk membolehkan Juventus berada di landasan terbaik di kejohanan yang diraih mereka sebanyak 13 kali itu namun musim lalu terkandas di suku akhir selepas tumpas di tangan Atalanta.

Pemain Brazil, Danilo dikeluarkan sebelum rehat akibat masalah kecederaan dan digantikan dengan Juan Cuadrado, menyaksikan Sarri bimbang mengenai perkara berkenaan terutama menjelang aksi bertemu Napoli hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 1:08 PM