MICHAEL hadir ke ibu pejabat NSTP untuk memperjelaskan isu menyalahgunakan kuasa Persatuan Kanu Malaysia (MASCA). FOTO NSTP/ROHANIS SHUKRI.
MICHAEL hadir ke ibu pejabat NSTP untuk memperjelaskan isu menyalahgunakan kuasa Persatuan Kanu Malaysia (MASCA). FOTO NSTP/ROHANIS SHUKRI.
Aida Adilah Mat


TIMBALAN Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Michael Wong menafikan dakwaan yang ditimbulkan oleh Presiden MASCA Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bahawa beliau menyalahgunakan kuasa selaku pengurus pasukan dalam urusan pemilihan atlet ke temasya Sukan SEA Filipina yang lalu.

Kenyataan yang ditimbulkan oleh Megat pada sidang media khas yang berlangsung Isnin lalu yang mengatakan beliau menjadi dalang kepada pemilihan atlet tanpa persetujuan bersama adalah tidak benar.

Michael yang ditemui hari ini berkata, beliau mempunyai bukti bahawa pasukan yang ke Sukan SEA adalah persetujuan bersama dalam surat yang ditandatangani oleh Megat sendiri.

“Saya tampil untuk membetulkan fakta yang terpesong. Saya mempunyai bukti termasuk perbualan dalam kumpulan Whatsapp yang turut disertai exco.

“Cuma apa yang nampak, ini fitnah ke atas saya, saya perlu perbetulkan,” katanya.

Michael berkata, tiada sesiapa pun yang menuding jari kegagalan skuad pasukan kanu dan perahu naga yang pulang dengan tangan kosong dari Sukan SEA ke atas Megat seorang.

“Saya sudah menghantar laporan kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan menyatakan bahawa kami harus menerima kegagalan dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kerana persatuan sendiri bercelaru dan ada masalah.

“Persatuan memang lumpuh sekarang kerana exco dan presiden tidak lagi ada persefahaman,” katanya.

Sementara itu, Michael turut menjelaskan terdapat lagi satu isu dalaman persatuan yang membabitkan skandal akaun sehingga ada ahli gabungan badan itu akan mengemukakan surat hilang kepercayaan terhadap Megat atas dakwaan menyalahgunakan akaun.

“Tidak kira siapa punya duit dalam persatuan kerana ada juga duit yang saya dahulukan tapi tak dibayar. Ahli persatuan tidak pun kata dia (Megat) makan duit. Kami cuma cakap dia salah gunakan akaun.

“Ini kerana mengikut perlembagaan, setiap perbelanjaan melebihi RM500 perlu mendapat persetujuan daripada exco. Itu fakta, saya berani cabar mohon dia tunjukkan bukti kerana tiada dalam minit mesyuarat exco yang meluluskan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh dia sendiri dalam akaun MASCA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 10:51 PM