PRESTASI konsisten di awal tahun menyaksikan Yew Sin-Ee Yi terpilih ke Kejohanan Berpasukan Asia walaupun mereka baru saja bergerak secara profesional. FOTO NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Aida Adilah Mat


BEREGU lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mendapat khabar gembira menjelang Tahun Baru Cina apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan mereka ke Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina, bulan depan.

Lebih menggembirakan, khabar itu hadir selepas kejayaan mereka menempah tiket ke separuh akhir Masters Thailand selepas menewaskan pilihan ketujuh dari Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-15, 21-17 dalam aksi suku akhir, hari ini.

Pemilihan beregu profesional negara itu tidak perlu dipersoalkan berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan di dua kejohanan sebelum ini iaitu Masters Malaysia dan Masters Indonesia apabila mara hingga ke suku akhir.

Ee Yi berkata, perkhabaran itu cukup menggembirakan dan ia adalah hadiah istimewa sebelum Tahun Baru Cina kerana mereka tidak dapat merayakannya bersama keluarga tahun ini.

“Penyenaraian kami ke dalam skuad kebangsaan adalah satu khabar gembira. Ia bagaikan hadiah yang cukup bermakna. Pastinya kami akan memberi yang terbaik kepada BAM dan negara. Peluang ini tidak akan disia-siakan.

“Ia adalah satu kebanggaan buat kami terutama selepas tidak lagi bersama BAM,” katanya.

Menanti Ee Yi-Yew Sin di separuh akhir adalah pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Shuan.

Terdahulu BAM dalam satu kenyataan mengumumkan senarai lelaki dan wanita yang akan mengibarkan cabaran di Manila yang juga dijadikan sebagai saingan kelayakan Piala Thomas/Uber.

Lee Zii Jia akan mengetuai senarai pemain perseorangan lelaki selain Cheam June Wei, Leong Jun Hao dan Ng Tze Yong.

Manakala dalam acara beregu, Ee Yi-Yew Sin akan bersama pasangan nombor satu negara, Aaron China-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Sementara itu, skuad wanita pula menyaksikan empat pemain perseorangan wanita terdiri daripada Goh Jin Wei, Soniia Cheah, S Kisona dan Eoon Xi Quan.

Gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean akan mengetuai acara beregu wanita bersama-sama Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Pearly Tan-M Thinaah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 11:24 PM