MOURINHO kecewa isu perpindahan Eriksen ke Inter belum selesai. FOTO AFP
AFP

PENGURUS Tottenham, Jose Mourinho kecewa isu perpindahan Christian Eriksen ke Inter Milan masih belum menemui jalan penyelesaian.

Mourinho mengetepikan Eriksen ketika skuad bimbingannya seri 1-1 di Southampton pada pusingan keempat Piala FA walaupun pemain tengah Denmark itu bersama pasukan.

Inter sudah mensasarkan Eriksen sepanjang musim perpindahan bulan ini ketika spekulasi bertiup kencang dia sememangnya mahu meninggalkan Spurs sejak tahun lalu lagi.

Difahamkan Tottenham sudah hampir bersetuju dengan nilai perpindahan Eriksen dan dia mungkin akan ke Itali minggu depan untuk menjalani ujian perubatan.

Bagaimanapun, Mourinho tidak gembira dengan isu perpindahan pemain itu yang masih belum selesai sejak beberapa minggu lalu.

“Anda boleh membaca apa saja maklumat yang anda perolehi. Saya tidak mahu bercakap mengenainya.

“Apa yang saya mahu katakan ialah situasi itu sepatutnya tidak berterusan sehingga 25 Januari. Ia bukan kesilapan Tottenham,” katanya.

Di sebalik spekulasi membabitkan masa depan Eriksen, Mourinho kekal menggunakan khidmat perancang itu untuk beberapa perlawanan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 11:19 AM