MELAKA United bakal memiliki skuad 'feeder club'. FOTO Nazri Abu Bakar
MELAKA United bakal memiliki skuad 'feeder club'. FOTO Nazri Abu Bakar

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) kini dalam proses pembentukan skuad baharu bagi menyertai saingan Liga M3.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, persatuan itu sudah menghantar permohonan bagi tujuan itu sekali gus mewujudkan ‘feeder club’ untuk skuad utama.

Katanya, ia diharap menjadi tempat buat pemain muda mengasah bakat pada saingan kompetitif .

“Malah ianya juga mampu menempatkan bekas pemain piala presiden membarisi pasukan terutama kepada mereka yang tidak mendapat tempat dalam skuad Liga Super Melaka.’

“Justeru ia khabar gembira buat pemain muda yang akan dipilih bagi skuad berkenaan dalam tempoh terdekat,”katanya.

Sementara itu, Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, usaha berkenaan sekali gus meletakkan skuad berkenaan sebagai alternatif pengganti SAMB FC yang menarik diri menyertai M3.

Beliau berkata, ianya juga medan meneruskan pembentukan bakat muda sebagai skuad pelapis masa depan buat skuad Hang Tuah.

Semalam lagenda bola sepak Melaka, Halim Jantan menyatakan langkah SAMB FC menarik diri menyertai Liga M3 diibarat satu kerugian kepada perkembangan bola sepak Melaka.

Katanya, kerugian membabitkan perkembangan bakat pemain yang tidak dapat diketengahkan pada saingan kompetitif.

Saban tahun skuad terbabit menjadi ‘feeder club’ kepada Melaka United (MU) dengan pemain muda berbakat akan terpilih mewakili skuad utama Hang Tuah terbabit.

Malah musim ini tiga pemain skuad berkenaan termasuk Mohamad Fakhrullah Rosli , Jasmir Menhat dan Muhamad Shyamierul Razmee Jasmi berada dalam pasukan Hijau Putih terbabit.

Justeru, cadangan mewujudkan Melaka II sebelum ini harus diteruskan sebagai pelapis skuad Melaka masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 11:08 PM