KENIN meraikan kemenangannya ke atas Jabeur. FOTO AFP
AFP

SOFIA Kenin melangkah ke separuh akhir Grand Slam buat kali pertama selepas menamatkan aksi cemerlang pemain Tunisia, Ons Jabeur di suku akhir Terbuka Australia, hari ini.

Pilihan ke-14 itu menewaskan Jabeur 6-4, 6-4 dan bakal bertemu pemenang antara Ashleigh Barty atau pilihan ketujuh, Petra Kvitova di separuh akhir.

Pemain kelahiran Moscow berusia 21 tahun itu yang menewaskan sensasi muda berusia 15 tahun, Coco Gauff sebelum ini berkata, dia sangat gembira dengan kejayaan terbaru itu.

“Ia adalah perlawanan yang sukar,” kata Kenin yang berhijrah ke New York bersama keluarganya sejak kecil.

Kenin berkata, detik kebangkitan bermula ketika dia melakukan servis ketika ketinggalan 2-3 di set kedua.

“Lawan saya beraksi dengan baik. Selepas itu saya meraih momentum dan mula beraksi dengan lebih baik,” katanya.

Kenin mendahului Jabeur 2-1 pada set pertama di Rod Laver Arena.

Bagaimanapun Jabeur yang menduduki ranking ke-78 dunia dan muncul wanita Arab pertama melangkah ke suku akhir Grand Slam, berjaya menyamakan kedudukan 3-3.

Kenin yang turut beraksi kali pertama di suku akhir kejuaraan utama itu, akhirnya berjaya mengawal permainan untuk memenangi set pertama sebelum meneruskan rentak cemerlang itu di set kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 10:48 AM