CHOONG Hann ketika sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Ferzalfie Fauzi


PASUKAN badminton lelaki negara memperoleh undian seimbang bagi Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina dan berpeluang cerah layak ke suku akhir selepas diundi bersama Taiwan serta Singapura dalam Kumpulan C.

Malaysia yang bakal diketuai perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berpeluang sekurang-kurangnya menduduki tempat kedua terbaik dalam kumpulan di belakang Taiwan.

Taiwan sudah pasti menjadi halangan utama pemain negara untuk muncul juara selepas membariskan perseorangan nombor dua dunia, Chou Tien Chen sambil dibantu pasangan ketujuh terbaik dunia beregu lelaki, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mengakui bahawa Malaysia mampu untuk menjadi juara kumpulan.

"Memang secara keseluruhan mereka mempunyai perseorangan lelaki lebih baik dan beregu lelaki sama taraf dengan kita, tapi saya rasa kita masih berpeluang cipta kejutan," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Bukan hendak merendahkan kemampuan Singapura, tapi di atas kertas Malaysia tidak berdepan masalah menumpaskan negara jiran itu yang hanya bergantung kepada pemain adik-beradik kelahiran Pulau Pinang, Loh Kean Yew dan Loh Ken Hean.

Singapura kali ini hanya mempertaruhkan tonggak bawah 20 tahun seramai lapan pemain. Jika berjaya mengulangi pencapaian 2018, iaitu mara ke separuh akhir kejohanan ini, Malaysia akan layak ke saingan Piala Thomas berdasarkan merit tanpa bergantung harap kepada kedudukan ranking berpasukan dunia.

Bagaimanapun, jika terkandas di suku akhir sekali pun, Malaysia dilihat berpeluang cerah untuk bermain di Aarhus, Denmark Mei depan berdasarkan kedudukan terkini ranking berpasukan dunia.

Sementara itu, skuad wanita pula dijangka tidak berdepan masalah ke suku akhir, selepas diundi dalam Kumpulan W bersama juara bertahan Jepun dan Hong Kong.

Prestasi terumbang-ambing skuad wanita Hong Kong baik perseorangan mahupun beregu harus digunakan sebaiknya oleh pemain negara untuk berada sekurang-kurangnya tempat kedua terbaik di belakang Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:14 PM