PEMAIN Melaka United menjalani latihan ringan sebelum berdepan Cimahi FC.
Nazri Abu Bakar


SKUAD Melaka United (MU) bakal berdepan Cimahi FC pada aksi pramusim di Stadium Siliwangi, Bandung jam 4 petang esok.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, skuad berkenaan mengatur tiga perlawanan sepanjang tujuh hari kunjungan termasuk bertemu Persib Bandung, Jumaat ini.

Katanya, kemenangan bukan faktor utama tetapi percaturan taktikal menjadi keutamaan pada setiap perlawanan dilalui buat pasukan bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan.

“Perlawanan di sana juga pentas buat jurulatih mengenal pasti kesebelasan utama yang bakal menjadi tunjang pasukan di pentas Liga Malaysia kelak.

“Sehubungan itu, tugas pemain perlu bertindak cemerlang bagi menempatkan diri dalam kesebelasan pertama sekali gus memberi pilihan luas buat Zainal,”katanya.

Syahrul berkata, beberapa pemain muda juga diharap mampu bertindak cemerlang merebut tempat dalam skuad kali ini bagi mewujudkan saingan kompetitif pada setiap posisi.

Justeru, kunjungan ke negara jiran itu bukan sesi ‘makan angin’ sebaliknya sebagai persediaan terbaik dalam memperkukuh dan mempertingkatkan kekuatan mental serta fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 8:40 PM