CHUN Yong (dua dari kanan) bersama skuad futsal negara.
Syazwan Msar


PASUKAN futsal negara perlu melupakan kekalahan lalu dengan bangkit meraih kejayaan dan yakin dengan kemampuan masing-masing dalam mengharungi Kejuaraan Futsal Antarabangsa Thailand dari 2 hingga 8 Februari ini di Songkhla, Thailand.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pasukan futsal kebangsaan perlu tampil yakin dan mempamerkan aksi membanggakan pada pertandingan itu nanti.

"Menang atau kalah adat pertandingan, apa yang penting semangat pasukan untuk terus bangkit mencipta kejayaan. Bukan mudah kekalkan kemenangan konsisten namun saya percaya sukan futsal negara mampu terus berkembang," katanya.

Pasukan kendalian Chiew Chun Yong akan membawa cabaran Malaysia pada kejuaraan yang turut disertai Thailand, Iran, Kuwait, Tajikistan dan Turkmenistan.

Thailand menganjurkan kejohanan jemputan itu sebagai medan ‘pemanas badan’ menjelang pusingan akhir Kejuaraan Futsal Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Ashgabat, Turkmenistan, Mac depan.

Malaysia sebelum ini tidak layak ke kelompok 16 pasukan terbaik Asia itu selepas gagal meraih tiga slot zon Asean apabila terkandas pada peringkat kumpulan saingan Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Vietnam, Oktober lalu.

"Seperti saya katakan, kekalahan bukannya noktah. Kita hanya perlu terus bangkit dan berusaha menjadi lebih baik. Pasukan yang akan berentap di Thailand ini semuanya bagus dan ia medan terbaik untuk kita memperbaiki lagi kemampuan pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 9:52 PM