X
MEGAT didakwa gagal memenuhi manifesto. FOTO Amirudin Sahib
MEGAT didakwa gagal memenuhi manifesto. FOTO Amirudin Sahib
Ferzalfie Fauzi


KERANA mengingkari manifesto menyebabkan ahli gabungan hilang kepercayaan terhadap Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Datuk Sri Megat D Shahriman Zaharudin, itulah luahan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Kanu Terengganu, Dzulkifli Abas.

Menurut Dzulkifli, ahli gabungan tidak tahu menahu mengenai urusan kewangan cuma mereka hanya mempersoalkan mengenai manifesto yang dijanjikan ketika Mesyuarat Agung November 2018.

“Sembilan ahli gabungan hilang kepercayaan, mesti ada sesuatu yang berlaku. Jawapannya mudah sebab beliau penipu.

“Beliau menjanjikan sesuatu di mesyuarat agung dengan berbelas perkara termasuk lima perkara tunjang untuk jayakan tapi satu pun tidak buat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujar Dzulkifli, akibat tidak mengotakan janji berkenaan meyebabkan ahli gabungan marah terhadap presiden dan mereka bukannya mempersoalkan mengenai ambil wang atau tidak.

“Ahli gabungan, bersama dan bersetuju menyuarakan tidak puas hati kepada presiden. Sembilan ini juga yang melantik beliau sebelum ini, tapi sudah hilang kepercayaan.

“Kalau fikirkan logik, sembilan ahli gabungan berpaling tadah tentu ada sesuatu tidak kena. Apa reputasi beliau kepada Masca, tengok semula, satu pun tidak buat,” katanya.

Tambah Dzulkifli lagi, kata putus untuk menggugurkan presideh terletak pada ahli gabungan dan sekarang ini sembilan sudah hilang kepercayaan iaitu lebih daripada separuh (keseluruhan 13).

Kelmarin Megat, mendakwa ahli gabungan cuba memburukkan reputasinya, dengan menghantar petisyen ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:34 PM
Digital NSTP Subscribe