AKSI Ronaldo menjaringkan penalti kedua di Stadium Allianz Juventus. FOTO AFP
AKSI Ronaldo menjaringkan penalti kedua di Stadium Allianz Juventus. FOTO AFP
AFP

CRISTIANO Ronaldo menggegar gawang lawan kali kesembilan berturut-turut menerusi dua penalti ketika pendahulu Serie A, Juventus yang tewas kepada Napoli sebelum ini bangkit mengatasi cabaran Fiorentina 3-0, semalam.

Tetapi pencabar utama, Inter Milan dan Lazio turut meraih kemenangan dengan Romelu Lukaku dan Ciro Immobile menjaringkan dua gol untuk pasukan masing-masing sekali gus memberi tekanan kepada juara bertahan lapan kali itu.

Juventus hanya tiga mata mengatasi Inter Milan di tangga kedua yang menewaskan Udinese 2-0.

Lazio dua mata di belakang tetapi beraksi kurang satu perlawanan selepas penjaring terbanyak, Immobile dan Felipe Caicedo masing-masing meledak dua gol ketika membelasah skuad tercorot SPAL 5-1.

Ronaldo menembusi gawang pelawat pada kedua-dua babak di Turin dengan pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt menanduk gol ketiga pada masa kecederaan.

"Sangat baik untuk menang semula dan gembira dapat menjaringkan gol di stadium kami. Bangga dapat mencecah 50 gol dengan jersi bianconeri!," kata Ronaldo dalam twitternya.

Juventus kalah kali kedua musim ini di tangan bekas kelab jurulatih mereka, Maurizio Sarri hujung minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 8:07 AM
Digital NSTP Subscribe