CORREA (kiri) meraikan jaringannya pertamanya ketika bertemu Granada. FOTO AFP
CORREA (kiri) meraikan jaringannya pertamanya ketika bertemu Granada. FOTO AFP
AFP

ATLETICO Madrid mencatat kemenangan kali pertama daripada empat perlawanan selepas menewaskan Granada 1-0 sekali gus naik di tangga keempat La Liga ketika Getafe pula terus melakar kejutan dalam usaha mencari tiket ke Liga Juara-Juara.

Gol tunggal penyerang Argentina, Angel Correa pada minit ke-6 yang juga gol kelimanya daripada sembilan perlawanan, sudah cukup memberi kemenangan kepada Atletico.

Atletico juga harus berterima kasih kepada penjaga gol, Jan Oblak yang menyelamatkan beberapa cubaan berbahaya termasuk cubaan Roberto Soldado yang hampir menjaringkan gol.

Pengurus Atletico, Diego Simeone lega apabila barisan pemainnya kembali kepada prestasi sebenar.

“Kami memerlukan kemenangan. Sokongan penyokong di dalam stadium sangat luar biasa dan kami sememangnya memerlukan suasana seperti itu,” katanya.

Getafe pula semakin hampir untuk meraih tiket ke kempen kelayakan Liga Juara-Juara selepas dua jaringan Jorge Molina membantu kemenangan 3-0 ke atas seteru utama untuk merebut kedudukan empat terbaik, Valencia.

Molina, 37, menjaringkan kedua-dua gol itu pada babak kedua sebelum Jaimie Mata menambah gol ketiga ketika permainan berbaki tiga minit selepas pemain Valencia, Alessandro Florenzi di buang padang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 9:43 AM