PEMENANG Jersi Kuning PETRONAS, Celano (dua dari kiri); pemenang Jersi Hijau PETRONAS dari pasukan NTT Cycling Team, Max Walscheid (dua dari kanan); pemenang Jersi Merah dari Team Sapura Racing, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (kiri) dan pemenang Jersi Putih dari Vino Astana Motors, Yevginiy Federov (kanan) pada Majlis penyampaian hadiah peringkat ketiga LTdL 2020 yang bermula dari Temerloh ke Kuala Lumpur. FOTO Luqman Hakim Zubir
Aida Adilah Mat


HARI penuh gemilang buat Team Sapura Cyling (TSC) apabila berjaya merampas Jersi Kuning (pendahulu keseluruhan) selain mengekalkan Jersi Merah (raja bukit) selepas tamatnya peringkat 4 dari Putrajaya ke Genting Highlands, laluan paling mencabar dalam saingan perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

Malah TSC kini gah selaku pendahulu keseluruhan pasukan dengan kelebihan empat minit 52 saat mengatasi Terengganu Cycling Team dan Thailand Continental Team.

Ia disifatkan satu kejayaan gemilang buat pasukan tempatan dalam perlumbaan berstatus Siri Dunia itu dan tidak pernah dilakukan dalam siri perlumbaan LTdL sebelum ini.

Pada perlumbaan sejauh 156.1 kilometer (km) dari Putrajaya ke Genting Highlands itu, Kevin Rivera dari pasukan Androni Giocattoli-Sidermec menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan empat jam 18 minit dan 55 saat menewaskan Danilo Celano dari TSC (4:19:05s) dan Artem Ovechkin (Terengganu Cycling Team) 4:19:38s masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Biarpun Celano melepasi garisan penamat di puncak Genting Highlands di tempat kedua, namun catatan masa Celano yang mempunyai kelebihan 30 saat sudah cukup untuk merampas Jersi Kuning daripada pelumba Kazakhstan dari Pasukan Vino Astana Motors, Yevgeniy Fedorov yang disandangnya selama tiga peringkat berturut-turut manakala Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff kekal menyarung Jersi Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 8:16 PM